Tuesday, March 16, 2010

Taman & Sungai

Alladeen terfikirkan tentang ayat berikut ;
''Orang-orang yang bertakwa, mereka berada di taman-taman & sungai-sungai''

Macamana tu? Sekali fikir macam ayat biasa je, takde apa-apa yang istimewa sangat pun bagi orang yang biasa-biasa.

Lalu Alladeen pun duduklah pada satu sudut di biliknya sambil memikir lanjut
''Taman? Sungai?...
''Ahaa....itulah klunya''

Bagaimana keadaannya seseorang itu bila berada di taman indah dan di sungai yang mengalir segar bersih, disitulah terletak jawapannya. Kalau ada orang yang mengguna taman & sungai tu untuk buat maksiat, kita taulah apa makna tersirat dari apa yang tersurat. Tiada gunanya taman & sungai dunia dihias indah-indah jika pengunjungnya berkelakuan sedemikian.

Hanya mereka yang bertakwa memiliki taman-taman & sungai-sungai itu, iaitu mereka yang hatinya tenang, jiwanya tidak merasa sempit, tidak gelisah & gundah gulana. Diwajahnya terukir senyuman dan lidahnya dihiasi dengan bunga-bunga bahasa yang indah. Mereka menjaga kebersihan & keindahan taman serta sungai itu agar dapat dinikmati juga oleh orang lain.

Sementara itu, fikiran mereka tidak sempit, tidak kolot & tidak mudah membantah. Aliran pemikiran mereka begitu deras bak air sungai mengalir. Ilmu pengetahuan, petunjuk, idea dan maklumat datang mencurah-curah begitulah juga penerimaannya, tidak dibatasi oleh lemahnya pemahaman & ingatan. Apa yang datang diterima dengan hati yang terbuka dan minda yang segar supaya outputnya tidak tercemar oleh pemahaman yang sesat, fanatik dan kolot.

Semakin deras aliran itu maka semakin kuatlah tenaga pemikirannya memecah kebuntuan dan mencari penyelesaian terbaik. Ibarat batu yang keras akhirnya pecah dipukul aliran air yang deras lantas membuka laluan baru yang menghalang alirannya. Mereka tidak terikat dengan mana-mana fahaman sesat, fanatik, assabiyah & isme-isme dunia yang meragukan. Aliran pemikiran itu menjana idea dan pemahaman dari wahyu-wahyu langit dan kebenaran nyata yang diterima di depan mata & di halwa telinga.

Alangkah indahnya mereka yang memiliki taman-taman & sungai-sungai itu, walau ditawarkan dengan berbilion-bilion ringgit pun pemiliknya tidak akan menjualnya. Kerana dia tahu kesenangan dan kemewahan harta benda dunia hanyalah sementara. Dia berasa seronok & berpuas hati berada di dalam taman itu dimana disitu juga terdapat air sungai yang mengalir. Seperti yang digambarkan fengshui cina, seseorang yang memiliki taman seperti itu akan memperolehi keuntungan yang besar.

Di dalam taman itulah tumbuh suburnya buah-buahan yang boleh dipetik sesukahatinya dan meminum air sungainya yang bersih & segar. Walau ditawarkan istana sekalipun, dia tetap memilih untuk memiliki taman itu, kerana disitulah tempat yang paling damai baginya.

Bayangkan saja seorang yang sibuk dengan kerjanya sehingga lupa melawat dan menghiasi tamannya. Pastilah dia seorang yang gelisah lalu mencari kedamaian dengan hiburan & harta dunia yang mewah. Namun kegelisahan itu bertandang kembali. Kenapa boleh terjadi sedemikian? Dia akan sentiasa mengeluh, bersedih hati, merungut dan kecewa kerana hatinya serta pemikiran tidak mengalir seperti air sungai. Ia bertakung sahaja dan tidak membawa perahu yang dinaikinya ke destinasi. Biarpun dia dengan kekayaannya menggunakan kapal berenjin namun hanya kapal itu bergerak ke destinasi namun ia telah mencemarkan air sungai dengan sisa minyak manakala sungai yang bertakung itu menjadi tempat punca penyakit dan sumber rezeki di dalamnya musnah.

Alladeen sudah mengetahui jawapannya lalui dia pun bersyukur mengucapkan ;
''ALHAMDULILLAH''

Maka, Alladeen pun meneruskan pengembaraannya mencari apa yang dia sedang cari. Setiap pencarian itu perlukan jawapan segera, bukannya dilalaikan oleh kesenangan sementara kerana sesungguhnya masa itu semakin suntuk.

Biarlah mereka berkata apa yang hendak dikata, kerana ada suatu masa terdapat hari di mana tidak ada siapa pun dapat menolong, cuma amalan diri dan keikhlasan melakukannya tanpa sebarang pengharapan. Jika diberi itulah namanya rezeki atas hasil usaha dan kepercayaan.

No comments:

Post a Comment